BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 24 Oktober 2017

HBAE1203- PERKEMBANGAN SENI KANAK-KANAK(OUM)

1.0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi keempat (2007), seni boleh didefinisikan sebagai karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang diciptakan dengan bakat (kecekapan) atau hasil kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa bakat, kebolehan dan penghayatan serta pemahaman yang jitu amat diperlukan dalam menghasilkan sesuatu produk seni. Kebolehan, kelayakan atau kecekapan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah kebolehan semulajadi atau sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling kait-mengait antara satu sama lain di dalam menghasilkan sesuatu produk seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Seni juga adalah suatu ciptaan atau ekspresi terhadap sesuatu yang dianggap indah yang mana ianya memenuhi keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi keperluan-keperluan naluri keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan tertentu. Seni berperanan yang bersifat psikologi dan sosiologi dan mempunyai hudungan dengan seni visual, seni muzik, seni tari dan lain-lain. Manusia melahirkan sesebuah hasil seni melalui perasaan, pengalaman dan rangsangan dan dilahirkan melalui seni. Menurut kamus Dewan Edisi Keempat (2007), kreatif bermaksud mempunyai kebolehan atau kemampuan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea tulen, asli atau baru. Manakala kreativiti pula boleh ditafsirkan sebagai kebolehan atau kemampuan individu berimaginasi atau mencipta sesuatu yang baharu. Selain itu, ia juga merupakan satu kebolehan menjana idea baharu dengan menggabung, mengubah dan mengaplikasikan semua idea. Hasil kreativiti itu pula mempunyai nilai, kegunaan atau memenuhi sesuatu keperluan. Menurut Laura Chapman (1978), sifat semulajadi yang ada pada kanak-kanak ialah sukakan belaian kasih sayang, perhatian dan sentuhan melalui contengan-contengan yang dibuat oleh kanak-kanak menampakkan perkembangsan seni tampak mereka berlaku dengan pesat. Namun begitu, perkembangan ini mungkin berbeza mengikut alam persekitaran, faktor keluarga dan latar belakang pendidikan keluarga. Melalui proses lakaran yang dibuat oleh kanak-kanak tersebut menjadikan tahap mental mereka berkembang. Sehubungan dengan itu, pembangunan sosial kanak-kanak tadi terbina secara tidak langsung dan menjadikan mereka seorang yang kreatif, berdikari, dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam kelompok masyarakatnya. James dalam Idea in Practice (1999) telah menyatakan kanak-kanak akan belajar kemahiran kreatif dan kritis melalui seni. Selain daripada itu, seni juga dianggap sebagai satu terjemahan perasaan dan emosi yang dihasilkan dalam bentuk tulisan. Bagi mendapatkan kemahiran dalam berseni, seseorang itu perlu berani bermain dengan pengetahuan, pengalaman dan perasaan. Seni itu juga mengasah bakat kreativiti dan kemahiran kritikal. Maka dengan itulah kreativiti seseorang murid boleh diperkembangkan lagi dan diajar di dalam bilik darjah. Secara umumnya kita semua sedia maklum bahawa murid-murid di sekolah rendah adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual juga berperanan dalam memperkembangkan lagi sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan murid-murid menyatakan idea dan ekspresi diri. Melalui pengalaman ini, ia begitu bermakna dan berguna bagi membantu murid dalam membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Selain itu, kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semulajadi proses tumbesaran mereka. Hasil kerja yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak. Kreativiti paling jelas dapat dilihat pada diri kanak-kanak kerana bagi mereka segalanya adalah baru dan otak atau pemikiran mereka yang kecil itu sentiasa cuba menggabungkan fikiran dan idea-idea, sambil meneroka dunia sekeliling mereka secara tidak langsung. Namun begitu, ibu bapa yang berkeinginan mengekalkan kreativiti ini dalam diri anak-anak perlulah mengetahui terlebih dahulu perbezaan antara kreatif dan kepintaran. Kita semua sedia maklum bahawa kanak-kanak itu sendiri gemar dan suka melukis dan mewarna tanpa disuruh melakukannya. Tetapi bagi kanak-kanak yang penakut atau pemalu, mereka memerlukan idea untuk mendorong mereka memulakannya. Komponen kreativiti kanak-kanak mengandungi lima aspek yang terdiri daripada persekitaran dan keindahan alam, lukisan dan kraf tangan, muzik, nyanyian dan pergerakan kreatif, drama dan puisi serta warisan budaya. Maka dengan itu juga guru berperanan penting dalam membentuk dan mengasah kreativiti pelajar di sekolah dimana pelajar diberi peluang untuk melahirkan perasaan dan dan memperkembangkan daya kreativiti mereka berdasarkan kreativiti masing-masing. Penglibatan aktif kanak-kanak ini juga berupaya mengalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor kanak-kanak, disamping memupuk nilai estetika. Ini secara tidak langsung mendorong kanak-kanak itu memahami hasil pembelajaran dengan lebih mudah dan tahap pencapaian mereka juga semakin meningkat. Kanak-kanak itu semakin pandai melukis dan mengecat mengikut kreativiti serta boleh melakar, menulis, memotong, menghasilkan kraf tangan, membuat pergerakan kreatif, menyanyi dan juga menenun. Menurut Laura H. Chapman (1978) di dalam bukunya yang bertajuk Approches in Art Education menyatakan bahawa proses kreativiti mempunyai pertalian dan hubungan yang hampir sama dengan proses penghasilan karya ataupun dikenali sebagai proses artistik dimana proses artistik ini digunakan oleh penggiat seni dalam penghasilan karya mereka. Proses yang dijelaskan oleh Chapman itu tidak bersifat statik, bersifat boleh ubah dan berulang-ulang. Antara lain, 3 disiplin ini tidak menjadi keutamaan asalkan objektif menghasilkan karya seni tercapai. Oleh yang demikian, guru-guru pendidikan seni visual perlu memahami bahawa proses penghasilan karya tidak hanya tertumpu kepada satu cara sahaja dan pemahaman ini perlu diaplikasikan ke atas murid di dalam kelas. Pelbagai cara dan kaedah boleh diketengahkan selagi proses penghasilan karya tersebut dijelaskan dengan baik kepada murid. Selain itu, seseorang guru itu sendiri perlu mempunyai pengalaman luas dan melengkapkan diri dengan pengetahuan di dalam penghasilan karya seni bagi menggalakkan pelajar menghasilkan karya seni yang baik dan bermakna. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang ada secara tidak langsung dapat membantu guru memberi bimbingan dan panduan kepada pelajar dengan lebih sempurna. Namun begitu, sebagai seorang guru seni visual, berkemungkinan penggunaan kaedah dan teknik yang sama dan berulang semasa menghasilkan karya terdahulu digunakan dalam pengajaran di dalam kelas. Namun begitu, haruslah diingatkan bahawa pengajaran pendidikan seni visual di sekolah mempunyai garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu Huraian Sukatan Pelajaran yang perlu dipatuhi dan diikuti agar ianya tidak lari dari landasan atau objektif asal pendidikan seni visual. Terdapat tiga kaedah yang telah diperkenalkan oleh Chapman bagi menghasilkan karya seni iaitu Kaedah Penjanaan Idea (Inception of Idea), Pengolahan dan Pemurnian (Elaboration and Refinement), dan Kemahiran Menggunakan Bahan (Execution in a Medium).

2.0 PERANAN GURU PENDIDIKAN SENI VISUAL
Peranan dan tanggungjawab guru Pendidikan Seni Visual (PSV) adalah untuk melahirkan pelajar yang berdaya imaginasi yang baik dan tinggi. Dalam usaha mengerakkan pelajar menghasilkan karya-karya seni visual yang berkualiti, guru PSV sebenarnya perlu terlebih dahulu mengenal pasti minat pelajar kerana kecintaan mereka kepada sesuatu perkara adalah motivasi utama kepada pelajar untuk belajar. Pelajar yang tidak berminat dengan mata pelajaran PSV tidak seharusnya terus dimarahi dan diherdik apatah lagi dikenakan hukuman. Oleh demikian, guru PSV perlulah bijak dan kreatif dalam menarik minat pelajar untuk menghasilkan karya seni yang mana ianya berkait rapat dengan minat ataupun kecintaan mereka. Pelajar tidak perlu dipaksa atau digesa agar mereka tidak berasa tertekan atau terkongkong. Guru yang dapat mengenal pasti minat dan bakat murid sebagai langkah permulaan adalah amat bermakna dalam membantu pelajar mengembangkan bakat dan kreativiti dalam diri mereka. Berdasarkan pengetahuan guru tentang minat pelajar, guru PSV perlulah bijak dan kreatif dalam mengolah set induksi sesuatu pelajaran. Set induksi yang menarik dan bermakna serta pelbagai menjamin keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas. Guru PSV boleh menggunakan pelbagai kaedah, strategi dan teknik pengajaran seperti menayangkan klip video, memperdengarkan lagu/muzik, memperlihatkan gambar, menyediakan kuiz atau permainan, membuat persembahan dan sebagainya. Bahan yang digunakan sebagai setinduksi juga perlu berhubungan rapat dengan minat pelajar dan berkaitan dengan isi pelajaran. Isi pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru PSV juga hendaklah diperkayakan minda dan emosi pelajar dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman bermula daripada mudah kepada yang lebih kompleks bersesuaian dengan keupayaan pelajar. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini, hubungan dua hala antara guru PSV dan pelajar serta pelajar dengan pelajar serta pelajar dengan bahan haruslah berlaku dan begitu bermakna dan penting agar minat murid dapat terus dikekalkan. Kemahiran berinteraksi dengan baik juga perlu dalam usaha guru PSV untuk menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar. Proses ini seharusnya berpusatkan pelajar dan bukan guru semata-mata. Ruang dan peluang yang diberikan kepada pelajar adalah penting untuk melaksanakan sesuatu kerja seni itu haruslah berdasarkan minat dan kreativiti. Di samping melibatkan pelajar dalam interaksi dan aktivti yang dijalankan, galakan dan pujian haruslah diberikan kepada pelajar agar mereka rasa dihargai dan terdorong untuk lebih berusaha. Perkara ini adalah sesuatu peneguhan positif yang bermakna dan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Jika terdapat pelajar yang menimbulkan masalah dan melanggar disiplin di dalam kelas, pelajar tersebut tidak seharusnya dihukum serta-merta apatah lagi mendenda mereka dengan menyuruh mereka menghasilkan karya-karya seni. Sebaliknya, pelajar tersebut didekati dan dikenalpasti punca dan masalahnya. Selain itu, guru PSV perlulah berfikiran matang, tenang dan bersikap profesional dalam menghadapi cabaran ini. Peneguhan posiif hendaklah diberi melalui teguran dan dendaan yang tidak bertujuan membalas dendam atau memalukan pelajar keranatentunya perkara ini akan semakin memburukkan keadaan dan seterusnya menjejaskan emosi pelajar. Disini, guru PSVperlulah bijak mengurus emosi terlebih dahulu agar tidak membina jurang antara guru dan pelajar. Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran seperti klip video yang lucu, lagu yang menghiburkan, lukisan yang menggagumkan dan lain-lain dapat dimanfaatkan untuk merehatkan minda dan menenangkan emosi peajar serta guru selagi bahan-bahan itu mempunyai nilai dan unsur pengajaran. Guru PSV juga berperanan sebagai pengurus kepada aktiviti yang melibatkan seni pelajar sepertimerancang aktiviti seni untuk pelajar serta menjalankan aktiviti seni di luar kelas. Guru PSV juga bertanggungjawab terhadap segala peralatan seni visual dengan menjaga dan memastikan peralatan sesuai dan mencukupi untuk menjalankan aktiviti seni visual. Guru PSV juga bertindak sebagai pemudahcara bagi pelajar. Guru perlu menerapkan pengajaran yang berteraskan unsur maju kepada pelajar. Guru PSV perlu bijak dan kreatif merancang aktiviti seni yang dapat menggalakkan kreativiti seni pelajar. Guru yang berhemah tahu kemampuan dan potensi pelajarnya sendiri serta tahu bagaimana untuk mengaitkan unsur alam danluar dalam pembelajaran dan pengajaran. Bagi pelajar yang lemah dan memerlukan bimbingan dalam melakukan aktiviti seni dan artistik, mereka perlu dibimbing supaya dapat dikenalpasti kelemahan dan potensi mereka agar dapat dicungkil dan dikembangkan lagi. Guru PSV juga berperanan penting dalam merangsang pemikiran pelajar dengan membantu pelajar mengeluarkan idea yang baru dan kreatif. Guru juga perlu menyokong pelajar dalam menyelesaikan masalah. Guru juga boleh membantu dalam menyarankan kolaboratif dan kooperatif dalam kerja berkumpulan. Tunjukkan cara bagaimana melakukan kerja seni dan kreativiti secara berkumpulan. Keyakinan dan motivasi pelajar perlu dibina dan disuntik dalam diri pelajar agar hasil kerja mereka berkualiti dan bermakna. Secara keseluruhannya, ini menunjukkan guru PSV memainkan peranan yang begitu penting dalam menerapkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan mengenai perasaan estetika dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid, menimbulkan perasaan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan Pendidikan Seni Visual dalam kehidupan. Selain itu, mereka mengajar dan membimbing murid melakar atau melukis pelbagai jenis bentuk dan gambar, pemupukan minat dalam bidang artistik supaya pelajar berkeinginan untuk menghasilkan karya seni yang bersifat lakaran dan memperlihatkan kepentingannya. Guru PSV juga berperanan sebagai pelaksana dalam kurikulum yang telah diselaraskan, membantu pelajar menghadapi cabaran di masa depan, meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, serta keindahan seni warisan bangsa. Selain itu juga menggalakkan pelajar melakukan dan melaksanakan pemerhatian aktif, interaksi yang kreatif dengan alatan atau bahan serta apresiasi seni.

 3.0 KEPENTINGAN KREATIVITI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL
Pendidikan Seni Visual ini sebenarnya penting dalam merealisasikan masyarakat ke arah kehidupan lebih sempurna seperti mana kepentingan mata pelajaran pendidikan yang lain. Kreativiti dalam Pendidikan Seni Visual sudah lama memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan. Kreativiti dalam Pendidikan Seni Visual ini sebenarnya telah pun disemai dan diamalkan sejak generasi awal lagi iaitu dari zaman batu hinggalah ke zaman moden sekarang, dari peringkat kanak-kanak hinggalah ke peringkat dewasa. Seni itu bukan sahaja mengajar seseorang itu melukis, mewarna namun mendidik untuk menilai dan menghayati keindahan dan kecantikan alam serta memupuk nilai-nilai estetika dan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia. Seni juga adalah suatu ciptaan atau ekspresi terhadap sesuatu yang dianggap indah yang mana ianya memenuhi keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi keperluan-keperluan naluri keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan tertentu. Seni berperanan yang bersifat psikologi dan sosiologi dan mempunyai hudungan dengan seni visual, seni muzik, seni tari dan lain-lain. Manusia melahirkan sesebuah hasil seni melalui perasaan, pengalaman dan rangsangan dan dilahirkan melalui seni. Seni juga memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan perubahan masyarakat. Sejak daripada kecil, ibu bapa telah mendidik anak-anak mereka mengenal alat-alat permainan. Mereka menunjukkan bentuk-bentuk permainan kepada kanak-kanak di mana pada alat permainan tersebut, terdapat pelbagai warna dan beraneka jenis rupa bentuknya. Apabila melihatnya, kanak-kanak itu akan meluahkan rasa hatinya tentang warna yang disukainya serta jenis-jenis permainan yang disayanginya. Selain gemar kepada barangan permainan, kanak-kanak juga suka menconteng. Kesempatan inilah digunakan untuk melahirkan ideanya. Kanak-kanak adalah kumpulan yang agak aktif dalam melahirkan kreativiti.

 4.0 CIRI-CIRI SEORANG YANG KREATIF
Seseorang itu boleh dikatakan kreatif apabila dia mempunyai daya kreativiti, imaginatif dan nilai estetika yang tinggi. Pendidikan seni bertujuan untuk melahirkan ramai insan yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi dan berkreativiti dengan melatih dan mendidik pelajar agar dapat membentuk sahsiah yang positif dengan memiliki sifat-sifat kreatif yang dipupuk dan dimiliki. Ciri-ciri seseorang yang mempunyai nilai kreativiti adalah seperti mempunyai daya persepsi yang tinggi di mana mereka ini amat peka dan gemar untuk melihat kekuatan nilai dan makna pada objek, dan alam, mendengar bunyi kehidupan di sekeliling, sedar apa yang di rasa dan di sentuh serta sensitif menggunakan deria. Seseorang yang kreatif juga mempunyai daya dan kemampuan untuk mengemukakan idea sendiri (asli) tanpa mengubah sesuatu idea atau benda yang asal kepada sesuatu yang baru atau berbeza daripada yang asal. Ini boleh dilakukan dengan penggunaan teknik atau gaya yang berbeza dengan mempelbagaikan kaedah. Seseorang itu juga perlu meneroka dan mencuba dengan pelbagai kaedah dan pendekatan dengan cara yang tersendiri bagi menyelesaikan permasalahan sesuatu idea atau ciptaan tersebut. Seseorang yang kreatif juga haruslah menanamkan sikap ingin mencuba, meneroka sesuatu yang baru dan inventif dalam menggabungkan idea dan imej. Seseorang itu juga perlu mengimpikan dan memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan timbul di kemudian hari. Seseorang yang kreatif juga suka mengkaji dan menyelidik serta dapat memberi makna dan pengertian terhadap sesuatu idea atau ciptaan. Bagi golongan yang kreatif ini sifat mereka yang suka bertanya dan mencari penjelasan bagi sesuatu persoalan serta akan berusaha mencari penemuan baru mengenai hubungkait antara idea dan bahan. Mereka ini juga peka terhadap nilai estetik di mana tertarik dengan nilai keindahan,kecantikan, keunikan, kelainan dan keharmonian terhadap sesuatu objek, alam dan kehidupan. Individu tersebut juga dapat merasakan nilai rentak, irama dan harmoni terhadap apa yang dilihat dan dihasilkan. Seseorang yang kreatif juga dapat menggunakan pendekatan yang fleksibel mengikut situasi dan keperluan. Ia juga boleh berdikari dan mempunyai kekuatan perasaan dan emoasi serta dapatmempunyai pernyataan diri.

 5.0 KAEDAH LAURA H. CHAPMAN DALAM PROSES ARTISTIK
 Kaedah pertama yang diperkenalkan Chapman bagi menghasilkan karya seni ialah Kaedah Penjanaan Idea (Inception of Idea). Di dalam menjana idea, pengkarya haruslah menetapkan terlebih dahulu objektif, haluan dan tujuan dalam penghasilan karyanya. Walau bagaimanapun masih terdapat pengkarya yang tidak dapat menetapkan haluan penghasilan karya kerana penetapan ini bergantung kepada ilham dan cetusan idea masing-masing. Proses ini agak lambat dan memakan masa yang lama dalam penghasilannya. Di dalam konteks pendidikan seni visual, pelajar haruslah dibimbing oleh guru dalam menetapkan hala tuju penghasilan karya selain menerangkan kaedah menjana idea sebelum menghasilkan karya yang dikehendaki. Pengabaian bimbingan dan penerangan yang sewajarnya oleh guru akan menyebabkan pelajar tidak mampu menghasilkan karya yang baik dan bermakna. Kaedah kedua yang diperkenalkan oleh Chapman bagi menghasilkan karya seni ialah Pengolahan dan Pemurnian (Elaboration and Refinement). Proses pengolahan dan pemurnian idea ini dilakukan bertujuan mendapatkan kajian visual yang lebih sistematik dan tersusun. Proses ini dilakukan oleh pengkarya bagi memastikan imej atau visual yang hendak dihasilkan atau dipilih bertepatan dengan tema dan objektif penghasilan. Dalam penghasilan karya di peringkat kanak-kanak, proses ini dianggap signifikan kerana proses yang dilalui oleh mereka ini biasanya diulang beberapa kali bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Maka dengan itu proses ini perlulah didedahkan oleh guru pendidikan seni visual kepada murid di sekolah suaya mereka dilatih untuk mempunyai pengamatan yang mendalam terhadap ketelitian. Kaedah ketiga yang diperkenalkan oleh Chapman bagi menghasilkan karya seni pula ialah Kemahiran Menggunakan Bahan (Execution in a Medium). Pemilihan bahan bagi menghasilkan karya sangat bergantung kepada pemilihan yang dilakukan oleh pengkarya. Sesetengah pengkarya akan terus menggunakan bahan yang sama bagi menghasilkan karya dan tidak kurang juga yang gemar membuat eksperimentasi bagi melihat kesan-kesan tertentu. Maka dengan ini jelas menunjukkan bahawa pemilihan bahan yang dipilih memberikan kesan terhadap masa yang diambil bagi menyiapkan sesuatu karya dan persediaan yang perlu dilakukan sebelum menghasilkannya. Oleh demikian, sebagai seorang guru pendidikan seni visual seharusnya mereka ini membimbing murid melalui pengenalan terhadap bahan dan teknik penggunaan serta penghasilan karya. Guru seharusnya menjelaskan dengan terperinci kepada murid sama ada melalui sesi demonstrasi dan tunjuk cara supaya pemilihan bahan oleh murid mempunyai makna dan nilai yang tersendiri.

 6.0 MAKLUMAT SOKONGAN
 Menurut Patricia James (1999), menyatakan pelajar belajar kemahiran kreatif dan kritis melalui seni. Seni juga dianggap sebagai terjemahan metafora dan ekspresi emosi sama juga seperti sastera (bentuk tulisan). Bagi mendapatkan kemahiran dalam seni, seseorang perlu berani bermain dengan pengetahuan, pengalaman dan perasaan. James dalam ”Ideas in Practice (1999), menyatakan seni juga mengasah bakat kreativiti dan kemahiran kritikal. Kini kreativiti boleh diajar dalam bilik darjah. Secara realitinya seni mempunyai tujuan dan proses yang terkandung di dalamnya tanpa tiada kesudahannya. Justeru dengan itu, guru perlu kreatif untuk mencungkil bakat dan potensi murid-murid di sekolah. Melalui pendekatan seni juga mampu membantu individu dalam aspek-aspek tertentu. Berdasarkan penulisan Prof. Madya Hj. Iberahim (2010), dinyatakan bahawa pendidikan seni perlu memfokuskan perhatian kepada tiga domain utama. Pendidikan seni adalah merupakan bidang ilmu yang menjelaskan konsep pendidikan menyeluruh, yang memenuhi tuntutan domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara tersebut iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Antara kandungan yang ada di dalam ketiga-tiga domain tersebut adalah domain kognitif iaitu ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan. Kedua, domain afektif iaitu suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keperihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik. Ketiga, domain psikomotor iaitu menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental. Kurikulum Pendidikan Sekolah Rendah merangkumi empat bidang iaitu menggambar, membuat rekaan dan corak, membentuk dan membuat binaan dan kraf tangan.

 7.0 BIDANG PENDIDIKAN SENI VISUAL (PERKAITAN ANTARA KARYA SENI DENGAN MAKNA KREATIVITI)

7.1 Bidang Kegiatan Menggambar
Bidang kegiatan menggambar ialah bidang kegiatan yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR. Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang mana ianya menekankan kepada aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, resis, gosokan, stensilan, percikan, garisan, capan, mozek dan poster. Dalam aktiviti menggambar, murid-murid dapat menggunakan berbagai alat dan bahan untuk menghasilkan gambar mengikut cara ekspresinya yang tersendiri. Ini jelas dapat membantu perkembangan murid-murid dari aspek psikomotor dan emosi dan penting dari segi keperluan fisiologi dan psikologi murid-murid. Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita. Di atas menunjukkan gambar hasil kerja pelajar Muhammad Azim Mustaqim Bin Hashim dari Tahun 4 Arif dalam kegiatan menggambar dengan menghasilkan sebuah lukisan yang bertajuk “Superhero”. Berdasarkan teknik lukisan tersebut dalam Proses Artistik Kaedah Chapman yang pertama iaitu Kaedah Penjanaan Idea, guru memulakan sesi pengajaran dengan bersoal jawab dengan murid tentang rancangan televisyen yang diminati. Kemudian, murid ditunjukkan dengan contoh lukisan yang berkaitan dengan “superhero” bagi menarik minat dan menggalakkan serta merangsang murid untuk terus memberikan perhatian dan mendapat idea dalam penghasilan karya seni mereka. Gambar lukisan yang ditunjukkan itu bersesuaian dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid melalui pemerhatian persekitaran hidup mereka. Murid melakukan pemerhatian dan menjelaskan tentang objek atau bahan yang terdapat dalam lukisan yang dipamerkan. Berdasarkan pemerhatian terhadap lukisan yang dipamerkan, guru membimbing dan menggalakkan murid untuk menggunakan daya imaginasi sendiri secara bebas berdasarkan pengetahuan, pengalaman, pemerhatian dan pengetahuan sedia ada untuk menghasilkan karya seni yang kreatif dan bermakna. Peranan guru PSV dalam situasi ini adalah membimbing dan mendorong minat pelajar untuk cuba mengahasilkan karya yang bersesuaian dan menarik. Melalui Proses Artistik Chapman yang kedua iaitu Pengolahan dan Pemurnian, pelajar memulakan langkah dengan membuat lakaran bentuk gambar yang ingin dihasilkan beserta penyusunan objek yang dilukis. Di sini , pelajar menggunakan kreativiti yang ada pada dirinya dalam melahirkan atau menghasilkan idea untuk menggambarkan sesuatu yang menarik berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka. Pelajar cuba mengaitkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada mereka sebagai sumber ilmiah dan pelajar membuat beberapa olahan dari segi persepsi dan seterusnya pelajar juga membuat beberapa olahan dari segi warna mengikut kreativitinya. Pelajar turut memasukkan ton warna dan pencahayaan dalam lukisannya bagi menimbulkan suasana yang harmoni. Ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu seperti ulangan unsur garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna telah menghasilkan gubahan yang harmoni. Penggunaan dan cara mewarna yang betul dan sistematik menjadikan lukisan yang dihasilkan kemas, tersusun dan menarik dipandang . Tingkah laku yang kreatif dapat diadaptasikan melalui seni (Laura Chapman, 1978). Seterusnya melalui Proses Artistik Chapman yang ketiga iaitu Kemahiran Menggunakan Bahan, pelajar dibimbing oleh guru dalam pemilihan bahan dan alat yang sesuai dalam menghasilkan karya. Murid menggunakan alat dan bahan yang mudah seperti kertas lukisan, pensel, pen marker dan warna krayon. Guru mendedahkan dan memberi penerangan ringkas kepada pelajar tentang penggunaan pelbagai bahan dan alatan dalam penghasilan karya. Penggunaan alat dan bahan yang pelbagai ini mendorong pelajar melakukan kegiatan seni dengan lebih kritis dan kreatif. Penggunaan alat dan bahan yang berbeza dan pelbagai ini akan menarik minat pelajar untuk mencuba menghasilkan karya mengikut minat dan kreativiti mereka. Ini dapat dilihat dimana pelajar mewarnakan lukisan tersebut dengan menggunakan krayon dan diperkemaskan dengan pen marker. Penggunaan warna krayon juga boleh mempengaruhi hasil karya yang dihasilkan. Kesan penggunaan warna dengan penghasilan ton warna dan susun atur objek pada hasil karya mudah dilihat dan bersesuaian. Pelajar juga boleh memilih di antara kedua-dua media iaitu media kering (warna pensel, warna krayon) atau media basah (warna air) dalam penghasilan karyanya. Fungsi warna juga penting dalam menghasilkan lukisan yang cantik. Warna-warna panas speerti merah, kuning dan lain-lain dicadangkan untuk menghasilkan lukisan supaya lebih terserlah serta menjadikan suasana yang indah. Di sini guru PSV perlu memainkan peranan dalam memastikan pelajar memilih media yang sesuai untuk penghasilan karyanya.

7.2 Bidang Kegiatan Membuat Rekaan Dan Corak
 Bidang membuat rekaan dan corak adalah memberi peluang kepada murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian serta memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya. Selain itu, kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang (pualaman, tiupan, titisan, ikatan dan celupan, renjisan dan percikan), corak terancang (lukisan, catan, cetakan, capan, lipatan dan guntingan, resis, kolaj, kaligrafi) dan juga corak tradisional. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan. Di atas menunjukkan gambar hasil kerja pelajar Nurhanis Syazlin Binti Rahmat dari Tahun 6 Arif dalam Bidang Membuat Rekaan Dan Corak yang bertajuk “Penanda Buku” dengan menggunakan teknik lipatan dan guntingan kertas. Berdasarkan teknik lipatan dan guntingan tersebut dalam Proses Artistik Kaedah Chapman yang pertama iaitu Kaedah Penjanaan Idea, guru memulakan sesi pengajaran dengan bersoal jawab dengan pelajar dengan menunjukkan alas meja kepada murid bagi menarik minat dan menggalakkan serta merangsang murid untuk terus memberikan perhatian dan mendapat idea dalam penghasilan karya seni mereka. Alas meja yang ditunjukkan itu bersesuaian dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid melalui pemerhatian persekitaran hidup mereka. Murid melakukan pemerhatian dan menjelaskan tentang motif dan corak yang terdapat pada alas meja yang dipamerkan. Berdasarkan pemerhatian terhadap alas meja yang dipamerkan, guru membimbing dan menggalakkan murid untuk menggunakan daya imaginasi sendiri secara bebas berdasarkan pengetahuan, pengalaman, pemerhatian dan pengetahuan sedia ada untuk menghasilkan karya seni yang kreatif dan bermakna. Guru PSV berperanan dalam memastikan pelajar memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Melalui Proses Artistik Chapman yang kedua iaitu Pengolahan dan Pemurnian, pelajar memulakan langkah dengan membuat lakaran corak yang ingin dihasilkan beserta penyusunan objek yang dilukis. Di sini , pelajar menggunakan kreativiti yang ada pada dirinya dalam melahirkan atau menghasilkan sesuatu idea yang menarik. Pelajar memilih jenis rekaan dan corak yang sesuai sebagai sumber ilmiah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dan seterusnya pelajar membuat beberapa olahan dari segi persepsi dan seterusnya pelajar juga membuat beberapa olahan dari segi warna mengikut kreativitinya. Ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu seperti ulangan unsur garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna telah menghasilkan gubahan yang harmoni. Penggunaan dan cara pemilihan warna yang sesuai dan sistematik menjadikan lukisan yang dihasilkan kemas, tersusun dan menarik dipandang. Proses yang dijalankan dalam menghasilkan corak dan rekaan yang menarik ini ialah di mana murid perlu melipat dan menggunting mengikut corak yang dikehendaki berdasarkan kreativiti masing-masing. Seterusnya melalui Proses Artistik Chapman yang ketiga iaitu Kemahiran Menggunakan Bahan, pelajar dibimbing oleh guru dalam pemilihan bahan dan alat yang sesuai dalam menghasilkan karya. Murid menggunakan alat dan bahan yang mudah seperti kertas lukisan, pensel, kertas warna, gam dan gunting. Guru mendedahkan kepada pelajar tentang penggunaan pelbagai bahan dan alatan dalam penghasilan karya mereka. Penggunaan alat dan bahan yang pelbagai ini mendorong pelajar melakukan kegiatan seni dengan lebih kritis dan kreatif. Penggunaan alat dan bahan yang berbeza ini akan menarik minat pelajar untuk mencuba menghasilkan karya mengikut minat dan kreativiti mereka. Guru PSV berperanan dalam membimbing pelajar menggunakan bahan dan alatan yang sesuai digunakan dengan baik dan mengikut aturan serta memastikan keselamatan pelajar terjamin disebabkan menggunakan alatan tajam seperti gunting dalam penghasilan karya mereka.

7.3 Bidang Kegiatan Membentuk Dan Membuat Binaan
Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berdasarkan aspek tersebut, murid dapat memahami dengan lebih jelas apabila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan ini juga mendedahkan kepada murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti arca timbul, asemblaj, mobail, stabail, model, diorama, boneka, topeng, dan origami. Selain itu, kegiatan membentuk dan membuat binaan ini juga memberi peluang kepada murid menjadikan objek sebenar sebagai panduan mahupun sebagai bahan rujukan . Ini menjadikan perbandingan antara objek sebenar dan bentuk binaan yang dibuat akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna yang tersendiri. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita. Di atas menunjukkan gambar hasil kerja murid Sharena Aireen Binti Shariffudin dari tahun 6 Arif dalam kegiatan membentuk dan membuat binaan dengan menghasilkan pemandangan di sebuah tempat rekreasi. Dalam Proses Artistik Kaedah Chapman yang pertama iaitu Kaedah Penjanaan Idea, guru memulakan sesi pengajaran dengan bersoal jawab dengan pelajar tentang aktiviti pelajar pada hujung minggu. Kegiatan membentuk dan membuat binaan ini juga memberi peluang kepada murid menjadikan objek sebenar sebagai panduan mahupun sebagai bahan rujukan . Ini menjadikan perbandingan antara objek sebenar dan bentuk binaan yang dibuat oleh pelajar boleh memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna yang tersendiri. Melalui Proses Artistik Chapman yang kedua iaitu Pengolahan dan Pemurnian, pelajar memulakan langkah dengan membuat lakaran corak yang ingin dihasilkan beserta penyusunan objek yang di susun atur agar nampak menarik dan sistematik. Di sini , pelajar menggunakan kreativiti yang ada pada dirinya dalam melahirkan atau menghasilkan sesuatu idea yang menarik. Pelajar memilih beberapa objek yang sesuai di masukkan sebagai sumber ilmiah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dan seterusnya pelajar membuat beberapa olahan dari segi persepsi dan seterusnya pelajar juga membuat beberapa olahan dari segi warna mengikut kreativitinya. Ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu seperti ulangan unsur garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna telah menghasilkan gubahan yang harmoni. Penggunaan dan cara pemilihan warna yang sesuai dan sistematik menjadikan lukisan yang dihasilkan kemas, tersusun dan menarik dipandang. Semasa aktiviti ini dijalankan, komunikasi dan interaksi yang baik berlaku di antara pelajar dengan rakan sekelas dimana dapat dilihat sepanjang penghasilan proses kerja dilakukan pelajar bersama rakan akan bersaing dan membandingkan hasil lakaran di antara satu sama lain. Aktiviti seni akan wujud apabila adanya proses komunikasi dua hala (Kenneth M. Langsing, 1973). Seterusnya melalui Proses Artistik Chapman yang ketiga iaitu Kemahiran Menggunakan Bahan, pelajar dibimbing oleh guru dalam pemilihan bahan dan alat yang sesuai dalam menghasilkan karya. Peralatan dan bahan yang dipilih adalah seperti kertas lukisan, pensel, kertas warna, polisterin, pisau UT, plastik, gunting, warna air, gam polisterin, berus lukisan, kadbod, lidi, pencungkil gigi, bunga plastik dan rumput plastik. Di sini, guru PSV berperanan dalam mendedahkan kepada pelajar tentang penggunaan pelbagai bahan dan alatan dalam penghasilan karya mereka agar nampak menarik dan kemas. Penggunaan alat dan bahan yang pelbagai ini mendorong pelajar melakukan kegiatan seni dengan lebih kritis dan kreatif. Penggunaan alat dan bahan yang berbeza ini akan menarik minat pelajar untuk mencuba menghasilkan karya mengikut minat dan kreativiti mereka. Guru PSV juga berperanan dalam membimbing pelajar menggunakan bahan dan alatan yang sesuai digunakan dengan baik dan mengikut aturan serta memastikan keselamatan pelajar terjamin disebabkan menggunakan alatan tajam seperti gunting dan pisau UT dalam penghasilan karya mereka.

 7.4 Bidang Kegiatan Mengenal Kraf Tradisional
 Bidang kegiatan mengenal kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja-kerja berunsurkan seni) yang mana ianya banyak melibatkan kemahiran kerja-kerja tangan yang memerlukan daya cipta dan kreativiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun berdasarkan kaum masing-masing. Di sekolah rendah, murid-murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti alat domestik, alat permainan, alat pertahanan diri, perhiasan diri (ornamen), batik, tekat, seni ukiran kayu, tenunan, seni anyaman, dan tembikar. Bidang ini sedikit sebanyak memberi kesedaran dan kefahaman kepada murid-murid betapa pentingnya kraf tradisional dalam budaya tanah air. Dalam kegiatan kraf tradisional, diperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita. Selain itu, melalui bidang kegiatan mengenal kraf tradisional, murid-murid dapat mempelajari dan seterusnya dapat memartabatkan kraf ini ke peringkat yang lebih tinggi. Secara tidak langsung juga kita dapat memelihara dan menjaga kepentingan kraf tradisional dalam kehidupan masyarakat Melayu yang semakin lama semakin tergugat dengan arus permodenan yang mana menipiskan warisan budaya ini. Di atas menunjukkan gambar hasil kerja pelajar Muhammad Danial Bin Shamsuddin dari Tahun 3 Bijak dalam bidang mengenal kraf tradisional dengan menggunakan teknik kolaj yang bertajuk wau bulan. Teknik kolaj ialah cara menghasilkan karya dengan menggunakan tampalan dari gubahan bahan-bahan seperti berbagai jenis kertas, bahan buatan manusia dan bahan alam semulajadi ke atas seseuatu permukaan seperti kertas atau plastik atau papan secara bebas dan boleh bertindih. Selalunya bahan yang berlainan sifat atau jalinan dapat memberi berbagai kesan kepada kandungan dan penyampaian gambar. Berdasarkan teknik lukisan tersebut dalam Proses Artistik Kaedah Chapman yang pertama iaitu Kaedah Penjanaan Idea, guru memulakan sesi pengajaran dengan menunjukkan contoh lukisan kepada murid. Gambar lukisan yang ditunjukkan itu bersesuaian dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid melalui pemerhatian persekitaran hidup mereka. Murid melakukan pemerhatian dan menjelaskan tentang objek atau bahan yang terdapat dalam lukisan yang dipamerkan. Membuat wau lazimnya dikaitkan dengan unsur kosmos seperti bulan, matahari, bintang dan sebagainya. Dari idea yang berbagai, keunikan ciptaan berlaku dan akhirnya mewujudkan kepelbagaian rupa bentuk dan jenis produk. Berdasarkan pemerhatian terhadap lukisan yang dipamerkan, guru membimbing dan menggalakkan murid untuk menggunakan daya imaginasi sendiri secara bebas berdasarkan pengetahuan, pengalaman, pemerhatian dan pengetahuan sedia ada untuk menghasilkan karya seni yang kreatif dan bermakna. Peranan guru PSV dalam situasi ini adalah membimbing dan mendorong minat pelajar untuk cuba mengahasilkan karya yang bersesuaian dan menarik. Melalui Proses Artistik Chapman yang kedua iaitu Pengolahan dan Pemurnian, pelajar memulakan langkah dengan membuat lakaran bentuk gambar yang ingin dihasilkan beserta penyusunan objek yang dilukis. Di sini , pelajar menggunakan kreativiti yang ada pada dirinya dalam melahirkan atau menghasilkan idea untuk menggambarkan sesuatu yang menarik berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka. Peranan guru PSV sebagai pembimbing adalah dengan memberi tunjukajar kepada murid dalam melakar bentuk wau berdasarkan contoh lukisan yang ditunjukkan. Pelajar cuba mengaitkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada mereka sebagai sumber ilmiah dan pelajar membuat beberapa olahan dari segi persepsi dan seterusnya pelajar juga membuat beberapa olahan dari segi warna mengikut kreativitinya. Sewaktu pelajar menyiapkan hasil kerja ini, mereka begitu tekun dan sabar dalam kerja menggunting dan menampal kertas warna agar karya dihasilkan menarik. Proses yang dilakukan ialah dengan menampal bahan di atas kertas dan menjadikannya gubahan imej. Seterusnya melalui Proses Artistik Chapman yang ketiga iaitu Kemahiran Menggunakan Bahan, pelajar dibimbing oleh guru dalam pemilihan bahan dan alat yang sesuai dalam menghasilkan karya. Murid menggunakan alat dan bahan yang mudah seperti kertas lukisan, pensel, kertas warna, gam dan gunting. Guru mendedahkan dan memberi penerangan ringkas kepada pelajar tentang penggunaan pelbagai bahan dan alatan dalam penghasilan karya. Penggunaan alat dan bahan yang pelbagai ini mendorong pelajar melakukan kegiatan seni dengan lebih kritis dan kreatif. Penggunaan alat dan bahan yang berbeza dan pelbagai ini akan menarik minat pelajar untuk mencuba menghasilkan karya mengikut minat dan kreativiti mereka. Pelajar juga boleh menggunakan kertas warna yang pelbagai warna, kertas majalah, bahan-bahan terbuang, dan sebagainya. Selain itu, pemilihan dan gabungan warna yang menarik akan menambahkan lagi keindahan pada kolaj yang dihasilkan. Di sini guru PSV perlu memainkan peranan dalam memastikan pelajar memilih media yang sesuai untuk penghasilan karyanya.

 8.0 PENUTUP
Mengilap karisma murid-murid menjadi insan intelektual dan cemerlang dalam bidang yang diceburi tidak semudah kata, sebaliknya pelaksanaan boleh dilakukan sedari awal usia kanak-kanan dengan melihat kepada kecenderungan yang ditunjukkan secara langsung atau tidak langsung. Pendidikan sempurna dan galakan daripada akar umbi bagi mengembangkan potensi anak-anak, selain pendedahan persekitaran kondusif dengan pelbagai disiplin melalui cara yang mudah, ringan dan menceriakan. Tuntasnya, aktiviti keseniaan dan industri kreatif merupakan salah satu cabang bagi menggalakkan murid-murid memupuk minat, potensi diri dan seterusnya sebagai persediaan menjadi pemimpin di masa hadapan selain daripada dapat memperkembangkan keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta mempunyai perhubungan dengan mata pelajaran lain. Sejajar dengan itu, melalui pemupukan asas seni visual juga mampu melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif. Umum juga sedia maklum bahawa melalui seni juga ianya mampu membentuk sebuah masyarakat yang cintakan kepada nilai-nilai keindahan dimana seni itu cantik, murni dan berestetika. Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid-murid juga dipupuk dengan dengan nilai-nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran kehidupan mereka. Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual yang berkesan juga dapat dicapai melalui penglibatan daripada pelbagai pihak. Peranan yang dimainkan bukan hanya daripada pihak guru sahaja malahan murid juga perlu dilibatkan sama secara langsung atau tidak langsung agar matlamat dan objektif pengajaran tercapai. Selain itu, seni itu sendiri berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan persekitaran atau estetika yang mencangkupi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu ataupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual. Seni juga berkemampuan dalam memenuhi naluri estetika dan fizikal manusia yang mana dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan tertentu. Ini menunjukkan bahawa melalui Pendidikan Seni Visual yang dipelajari murid-murid dengan pendedahan kaedah dan teknik yang pelbagai dan sempurna di peringkat sekolah berupaya membantu murid-murid dalam mengembangkan naluri ingin tahu secara eksplorasi deria. Secara tidak langsung, pemikiran kreatif dan kritis akan dapat dijana melalui eksperesi diri mereka. Dalam kata lain juga melalui pengalaman murid-murid dalam membuat pemerhatian semasa aktiviti melukis atau membuat lakaran, berupaya meningkatkan lagi kebolehan mereka dalam pengamatan dan memperkayakan pengetahuan tentang perbezaan setiap objek atau imej tampak di sekeliling mereka.

 9.0 RUJUKAN
 Kamus Dewan Edisi 4. (2007). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000).
Huraian Sukatan Pendidikan Seni Visual, KBSR. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002).
KBSR Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Pusat Perkembangan Kurikulum KPM. Rousliluddin Ambia, Mohd Jamel Hj. Mohd Taslim Abd Rahim & Manan Sarbani. (2011).
HBAE1103 Pengenalan Pendidikan Seni Visual. Selangor : Open Universiti Malaysia. Mohd Azlan Zakaria. (2009).
Bimbingan Dan Lembaran Aktiviti KBSR Pendidikan Seni Visual Tahun 4. Petaling Jaya : Mega Setia Emas Sdn. Bhd. Patricia James. (1999).
 “Pengalaman Pendidikan Seni Membantu Meningkat Kreativiti Dalam Kehidupan Sosial Masyrakat”. Diperolehi Februari 23, 2013, daripada http://n9kini.com/pengalaman-pendidikan-seni-membantu-meningkat-kreativiti-dalam- kehidupan-sosial-masyarakat/ Pengenalan Seni, Definisi Seni, Definisi Pendidikan & Definisi Pendidikan Seni. (2010, Januari 24). Diperolehi Februari 23, 2013, daripada http://colourexist.blogspot.com/2010/01/pengenalan-seni-definisi-seni-definisi.html Prof. Dr Haji Abdul Shukor Hashim, Badrul Isa, Khairezan Rahmat & Zuraimi Zakaria. (2011).
HBAE 1203 Perkembangan Seni Kanak-Kanak. Selangor : Open Universiti Malaysia. Prof. Madya Hj. Iberahim. (2010, March 25).
Pendidikan Seni di Malaysia Antara Harapan Dan Realiti. Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kesenian Universiti Sultan Idris. Diperolehi Februari 23, 2013 daripada http://sss1042-ssl2012.blogspot.com/2010/03/pendidikan-seni-di-malaysia-antara.html Seni Dan Pendidikan. Diperolehi Februari 25, 2013, daripada http://psvisual.wordpress.com/

PANTUN HARI RAYA




Koleksi Pantun Hari Raya Aidilfitri
Pantun khas hari raya Aidil fitri yang dipilih khas untuk anda semua. Selamat hari raya Aidil Fitri daripada penulis. 
Terlebih bisa tutur bicara,
Disimpan jangan ampun dipinta,
Syawal dinanti kan kunjung tiba,
Ikhlas dari hamba yang cantik jelita.

Buat meriam pasang pelita,
Asap keluar bunyi tiada,
Ucapan raya maaf dipinta,
Harap tiada terguris jiwa.
  
Bermain mercun sambil menari,
Di dalam gelap menangkap ikan,
Kami menyusun sepuluh jari,
Salah dan silap harap maafkan.

Sungguh cantik si rama-rama,
Hinggap seekor di depan mata,
Kini syawal kian menjelma,
Tangan ku hulur maaf kupinta.
  
Bakar lemang sambil berdiri,
Untuk juadah di Aidil Fitri,
Hantar kad raya posmen dah cuti,
SMS sahaja penggganti diri.
  

Gemersik takbir mengundang hiba,
Salam diutus tanda ingatan,
Syawal dinanti menjelang tiba,
Salam diutus pohon kemaafan.
.
Biar amarah disunting senyum,
Ibarat pekerti disulam kasih,
Diharap dihalal makan dan minum,
Ibarat rezeki tidak disisih

Buah pauh ditengah bendang,
Jadi dagangan di tengah kota,
Saudara jauh datang bertandang,
Bermaaf-maafan sesama kita.
  
Adik tersayang segak bergaya,
Memanjat kuih di atas para,
Suasana riang di hari raya,
Bermaaf-maafan riang gembira.
  
Menyeberang laut melintas negeri,
Terbang jauh dari Nanggiri,
Datuk nenek muka berseri,
Anak cucu telah kembali.

Gua Niah pintunya lebar,
Dayak dusun jadi penjaga,
Datuk nenek tidak tersabar,
Kuih tersusun di atas meja.
  
Memukul gendang pelbagai gaya,
Amat meriah riang gembira,
Ramai bertandang di hari raya,
Tersenyum riang sanak saudara.

Ahad, 18 November 2012

Kemegahan Putrajaya





Untuk merasai pengalaman ini, sila berkunjung ke sini bersama keluarga.

Gambar Kenangan

Mari bermain kapal terbang bersama anak-anak kesayangan ku.

Isnin, 15 Ogos 2011

Salam apa khabar.

Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua pengunjung blog saya....maaf kerana lama tak menulis.

Isnin, 8 November 2010


Gambar kenangan di stadium nasional bukit jalil, sempena perlawanan akhir piala malaysia 2010.